Rabu, 21 April 2010

LAGI PEMIMPIN PKR BERHIJRAH KELUAR DR PKR


HULU SELANGOR - Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Soraya Sulaiman, dan Timbalan Ketua Wanita PKR Bahagian Bagan Serai, Roshanita Mohd Basir semalam, mengumumkan keluar daripada parti itu.

Soraya, yang juga Ketua Wanita PKR Tanjong Malim dan Roshanita membuat pengumuman itu di Rumah Wanita UMNO Perak di Hulu Selangor yang terletak di Kampung Masjid Sungai Selisik semalam.

Turut keluar parti ialah suami Roshanita, Saghazali Abd Kadir yang juga setiausaha ranting PKR Kampung Sengat, Bahagian Gopeng.

Soraya berkata, keputusan mereka untuk keluar parti kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi PKR yang telah jauh tersasar daripada hala tuju sebenar.

“Setelah 10 tahun berjuang dan berkorban dalam parti, kami langsung tidak dihargai. Nasib wanita di Perak khususnya perlu dibela sebab itu saya pilih BN sebagai platformnya,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau turut menafikan mereka telah ‘dibeli’ oleh Barisan Nasional (BN) untuk keluar daripada PKR.

Soraya turut mendedahkan bahawa lebih ramai anggota PKR Perak akan mengikut jejak langkah mereka untuk keluar parti dalam masa terdekat.

Sementara itu, Saghazali berkata, beliau bertindak untuk keluar PKR kerana merasakan segala perjuangannya selama ini tidak pernah dihargai parti itu.

“Hasrat kami nak keluar parti tu dah lama, tapi hari ini difikirkan sebagai masa yang paling sesuai. Ini juga satu bonus bagi BN untuk mengalahkan PKR (dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor),” katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan