Siapakah Ketua Pemuda UMNO Malaysia sebelum ini? Apakah ahli-ahli Pemuda UMNO hari ini benar-benar tahu dan menghargai evolusi Pemuda UMNO daripada permulaannya hinggalah ke hari ini?
Apakah kita benar-benar tahu sejarah Pemuda UMNO?Realitinya, amat sukar untuk kita mencari sumber atau rujukan mengenai sejarah Pemuda UMNO.
Penulis ingin berkongsi beberapa informasi mengenai Pemuda UMNO semoga kita lebih menghargai kewujudan sayap Pemuda UMNO serta bangga dengan pencapaian-pencapaian kepimpinan Pemuda sebelum ini.
Yang pentingnya ialah jika kita memahami sejarah, kita akan menjadi ahli Pemuda UMNO yang sangat menghargai visi dan perjuangan Pemuda UMNO.
Anda sekalian dijemput untuk berkongsi sebarang informasi mengenai sejarah Pemuda UMNO. Mungkin ada yang masih mempunyai buku-buku lama atau bahan rujukan di dalam internet atau pun suratkhabar lama yang boleh dikongsi bersama.
KETUA - KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO
1. TUN HUSSEIN ONN (1949 - 1951)
2. TUN ABDUL RAZAK (1951)
3. TUN SARDON JUBIR (1951 - 1964)
4. DATUK SENU ABDUL RAHMAN (1964 - 1971)
5. DATUK HARUN IDRIS (1971 - 1976)
6. TAN SRI SYED JAAFAR ALBAR (1976 - 1977)
7. DATUK HJ SUHAIMI KAMARUDDIN (1977 - 1982)
8. DATUK SERI ANWAR IBRAHIM (1982 - 1987)
9. DATUK SERI NAJIB RAZAK (87 - 93)
10. DATUK SERI RAHIM TAMBY CHIK (93 - 94)
11. DATUK ZAHID HAMIDI (94 - 99)
12. DATUK SERI HISHAMUDDIN HUSSEIN (99 - 08)
13. KHAIRY JAMALUDIN (2008- KINI )
Beberapa fakta mengenai sejarah Pemuda UMNO Malaysia:-
1. Pemuda UMNO Malaysia tidak ditubuhkan serentak dengan UMNO Malaysia. Sayap tersebut 'lahir' 3 tahun selepas tahun 1946.
2. Kapten Hussein Onn merupakan ketua Pemuda UMNO yang pertama. (1949 - 1951)
3. Ketika itu, UMNO diterajui oleh Datuk Onn Jaafar, ayah kepada ketua Pemuda UMNO Malaysia. Kapten Hussein waktu itu pula, baru sahaja pulang dari medan perang di India.
4. Tatkala itu, visi Pemuda UMNO tertumpu kepada menyokong badan induk di dalam menyatupadukan organisasi Melayu untuk menentang penjajah.
5. Kapten Hussein dilihat sebagai calon yang terbaik untuk menerajui Pemuda UMNO memandangkan beliau mempunyai pengaruh yang kuat untuk mengumpulkan pemuda-pemuda Melayu. Datuk Onn Jaafar merupakan seorang pemimpin dan pejuang yang sangat dihormati oleh orang Melayu ketika itu dan Kapten Hussein dianggap 'kalau kuah tak tumpah ke nasi ke mana lagi' dan 'bapa borek anak rintik'.
6. Kapten Hussein sewaktu menjadi ketua tidak banyak mencetuskan isu-isu politik yang menarik perhatian. Tetapi ianya tertumpu kepada usaha meluaskan sayap pergerakan ke seluruh negara dibuat. Jentera parti juga diperkukuhkan.
7. Pendeknya, kejayaan Kapten Hussein ialah mengasas. Tapi itu sekadar perjuangan.
8. Kapten Hussein tidak lama menjadi ketua. Beliau terpaksa meninggalkan jawatan kerana beliau dilantik di dalam badan induk untuk menjadi Setiausaha Agung parti UMNO.
9. Pemergian Kapten Hussein telah diganti oleh Tun Abdul Razak.
10. Perlantikan Tun Abdul Razak sungguh menarik. Walau pun berpengalaman, beliau nampaknya tidak berminat untuk berjuang dalam Pemuda sahaja.
11. Beliau hadir sama bila pemilihan dibuat. Tapi bukan sebagai perwakilan, cuma menjadi pemerhati sahaja. Di dalam proses mesyuarat itu, ada perwakilan yang mencadangkan nama Tun Razak sebagai ketua. Dan pencalonannya disokong dan tidak ada tentangan diberikan.
12. Perwakilan merasakan Tun Razak boleh menjadikan Pemuda UMNO sebagai satu sayap parti yang berkesan. Tun Razak sudah memperlihatkan kecenderungan dalam politik sejak menuntut lagi.
13. Beliau seorang aktivis pelajar dan menubuhkan MALAYA FORUM di London, England.
14. Waktu di England, beliau menganggotai Parti Buruh dan aktif di dalam parti yang berhaluan kiri itu.
15. Tun Razak juga sudah biasa menghadiri sidang antarabangsa. Performancenya dalam sidang tersebut agak mengkagumkan. Beliau pernah mewakili Malaya ke persidangan Pertubuhan Belia Dunia di Brussels.
16. Walaubagaimana pun, Tun Razak merasakan adalah lebih baik jika beliau terlibat secara langsung dengan badan induk kerana beliau berpandangan adalah lebih berkesan jika beliau berada di badan induk UMNO.
17. Satu lagi proses pertukaran tampuk kepimpinan Pemuda berlaku dan ianya juga sungguh menarik.
18. Tun Razak menjadi ketua Pemuda untuk tempuh kurang daripada setahun sahaja (1951)
19. Persefahaman tercapai dengan Tun Sardon yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden UMNO. Tun Razak bertukar jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Tun Sardon menjadi Ketua Pemuda UMNO yang ke-3
20. Tun Sardon memegang tampuk kepimpinan Pemuda tatkala negara sedang di dalam proses memperjuangkan kemerdekaan. Makanya, agenda utama Pemuda UMNO ketika itu ialah membebaskan Malaya daripada cengkaman penjajah.
21. Tun Sardon merasakan cogankata UMNO: HIDUP MELAYU tidak sesuai lagi. Beliau merasakan bahawa cogankata MERDEKA lebih sesuai disebabkan senario negara ketika itu.
22. Akan tetapi, cogankata itu telah digunakan oleh parti PKMM (seteru politik UMNO) yang telah diharamkan oleh Inggeris dan Datuk Onn tidak setuju dengan cogankata itu kerana telah dipakai oleh PKMM.
23. Oleh kerana berlaku perbezaan pendapat, perkara ini telah diserahkan kepada perwakilan untuk dibincang dan diputuskan.
24. Perwakilan bersetuju dengan cogankata MERDEKA dan pada tahun 1951, cogankata tersebut telah digunakan. Perjuangan menuntut kemerdekaan diteruskan dan negara kita merdeka pada 31hb Ogos 1957.
25. Di era Tun Sardon juga, Pemuda UMNO memainkan peranan penting dalam mempertahankan sebarang tuduhan yang dolemparkan oleh negara jiran, Indonesia ke atas pemimpin negara tatkala berlakunya konfrontasi dengan negara tersebut.
26. Satu lagi kejayaan jelas Pemuda di bawah Tun Sardon ialah pengemblengan semangat kepada pimpinan. Pemuda UMNO diberi peranan untuk berbaris di dalam sesuatu program.
27. Walau pun kegiatan berbaris itu di pandang kecil oleh sesetengah pihak tetapi ia sebenarnya dapat memupuk semangat perpaduan dikalangan ahli-ahlinya. Hingga sekarang, kegiatan ini diteruskan dan sudah menjadi tradisi.
28. Di era Tun Sardon juga perlembagaan dipinda untuk tidak membenarkan lagi mereka yang lebih 40 tahun bertanding untuk apa jua jawatan di dalam Pemuda UMNO.
29. Bagaimana pun jawatan utama ketua Pemuda dikecualikan.
30. Perlembagaan untuk menghadkan umur Pemuda UMNO dipinda semasa era Tun Sardon kerana tempoh Tun Sardon dan Datuk Ahmad Badawi menjadi ketua dan naib ketua adalah terlalu lama (1951 - 1964).
31. Anggota-anggota Pergerakan merasakan perlu untuk membuat perubahan, terutamanya setelah melihat bahawa Tun Sardon dan rakan-rakannya tidak berapa mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan perubahan masa.
32. Era Tun Sardon juga terlalu ramai tokoh yang lebih daripada 40 tahun yang menduduki jawatankuasa pergerakan.
29. Dan buat pertama kalinya di dalam kepimpinan beliau, berlaku pemilihan ketua Pemuda UMNO pada tahun 1964.
30. Beberapa tokoh UMNO telah bertanding iaitu Datuk Senu Abdul Rahman, Haji Sulaiman Palestine dan Tan Sri Khalid Awang Osman tetapi Sulaiman dan Khalid menarik diri pada saat terakhir dan memberikan sokongan kepada Senu.
31. Datuk Senu menang dan telah menjadi ketua Pemuda yang ke-4. Sebelum itu, beliau merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO.
32. Satu perkara yang dilakukan oleh Ketua Pemuda ke-4, Datuk Senu, yang pada mulanya dianggap aneh ialah mengadakan pasukan sukan dan muzik dalam pergerakan tersebut.
33. Perkara tersebut dianggap tidak selari dengan perjuangan politik dan tidak boleh mengembang daya fikiran dan alam intelektualisme.
34. Bagaimana pun, Datuk Harun dan Datuk Musa terus menyambung malah menyuburkan kegiatan Datuk Senu itu.
35. Pemuda UMNO mempunyai pasukan bolanya sendiri, ahli-ahlinya aktif sehingga diadakan pula acara sukan tahunan.
36. Pemuda UMNO juga mempunyai pasukan angklungnya sendiri dan mengambil bahagian didalam peristiwa-peristiwa yang memerlukan bakti mereka.
37. Kejayaan besar Datuk Senu ialah melahirkan revolusi mental dan pemuda tahan lasak bagi mengubah fikiran orang Melayu. Walaubagaimana pun, buku REVOLUSI MENTAL cetusan Datuk Senu dan intelek-intelek muda UMNO itu tidak banyak dibaca orang, khususnya orang-orang parti sendiri. (klik di sini mengenai buku Revolusi Mental...)
38. Sesetengah pihak pula menganggap bahawa buku REVOLUSI MENTAL telah mendedahkan kelemahan orang Melayu kepada bangsa lain.
39. Mengapa Datuk Senu 'overlook' akan perkara ini tidak pula ada kalangan yang mahu ambil tahu.
40. Datuk Senu tahu tugasnya tersebut tidak mudah dilaksanakan. Dia juga tahu latar belakang sosio-ekonomi bangsanya itu akan mematahkan usaha mengubah revolusi mereka.
41. Tun Sardon dan Datuk Senu menjadi menteri sewaktu mereka menjadi Ketua Pemuda. Adalah ketara mereka tidak mampu menjadi 'trouble-shooter' atau mengkritik dan mengecam serta menegur mana-mana perjalanan yang dirasakan tidak betul baik dalam parti atau pun kerajaan.
42. Ketua Pemuda ke-5, Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor, dilihat sangat hebat kerana bertindak radikal dan sebagai 'watchdog' kerana beliau tidak menjawat sebarang jawatan di dalam kabinet ketika itu.
43. Datuk Harun tidak pernah melobi sesiapa untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO yang terpaksa dikosongkan oleh Datuk Senu pada tahun 1971.
44. Datuk Senu terpaksa melepaskan jawatan itu kerana dia telah di lantik menjadi Setiausaha Agung UMNO yang baru.
45. Dua calon popular untuk merebut jawatan ketika itu ialah Datuk Ali Hj. ahmad dan Datuk Musa Hitam. Datuk Ali adalah Naib Ketua Pemuda dan disokong oleh kumpulan lama di dalam UMNO dan Datuk Musa Hitam menjadi pujaan golongan terpelajar dan golongan UMNO yang mahukan perubahan.
46. Kedua-dua pemimpin dan rakan-rakan mereka saling menyulitkan politik masing-masing.
47. Dalam kekusutan itulah tiba-tiba satu cawangan UMNO dari Kota Baru, Kelantan, telah mencadangkan nama Datuk Harun untuk menjadi Ketua Pemuda. Datuk Samad Idris yang juga dicalonkan telah menarik diri dan menyatakan sokongannya kepada Datuk Harun.
48. Datuk Musa segera mengadakan rundingan dengan Datuk Harun dan kerjasama terjalin. Datuk Musa bersetuju untuk menjadi Naib Ketua Pemuda.
49. Perebutan jawatan kali ini turut melibatkan Tunku Abdul Rahman dan juga beberapa tokoh UMNO seperti Datuk Ali dan Datuk Shariff Ahmad.
50. Tun Razak sendiri tertarik dengan Datuk Harun yang sudah melihat keupayaan Datuk Harun menghadapi soal 13 Mei.
51. Ramai yang cuba menyatakan kepada Tun Razak bahawa kemenangan Datuk Ali lebih baik bagi perpaduan . Tetapi Tun Razak lebih yakin dengan daya pimpinan Datuk Harun.
52. Latar belakang inilah kemudiannya memberikan peluang kepada Datuk Harun menjadi Ketua Pemuda dan untuk selama lima tahun telah mencatat satu sejarah yang begitu mempersonakan Pemuda UMNO!
53. Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Datuk Harun amat disegani, dihormati, lantang dan juga ada pihak yang sangat iri hati dengan ketokohan beliau.
54. Imej yang dapat ditunjukkan oleh Datuk Harun ialah Jawatankuasa pusatnya mampu menjadi penegur yang berkesan terhadap apa juga penyelewengan dan kelemahan.
55. Mereka sangat efektif. Badan itulah penyokong kerajaan. Mereka jugalah pressure group dan trouble shooter.
56. Antara perkara awal yang diusahakannya ialah beliau secara lantang membawa kembali Tun Dr. Mahathir ke dalam UMNO. Dr Mahathir telah dipecat oleh Tuanku dan Tun Razak kerana kelantangan beliau mengkritik pemimpin-pemimpin UMNO.
57. Datuk Harun dan beberapa orang kawannya telah pergi mengunjungi Dr Mahathir di Alor Setar. Dia merasa amat sulit untuk menemui Dr Mahathir yang ketika itu tidak begitu berminat untuk melayan usaha mengembalikan dirinya ke dalam UMNO.
58. Mengapa Dr Mahathir bersikap demikian kurang difahami. Tetapi boleh jadi beliau kecil hati dengan sikap pemimpin-pemimpin UMNO masa itu.
59. Bagaimana pun, Datuk Harun pergi juga mencarinya dan terpaksa menunggu beliau.
60. Akhirnya, Dr Mahathir mahu juga berunding dengan dengan Datuk Harun. Setelah beberapa rundingan, Dr Mahathir bersetuju.
61. Setelah Datuk Harun memperjuangkan masaalah beliau dalam majlis tertinggi UMNO, UMNO akhirnya menimbangkan perkara itu. Dr Mahathir membuat permohonan dan beliau akhirnya kembali ke dalam UMNO.
62. Meski pun Dr Mahathir ketika itu sudah mampu membuat kenyataan-kenyataan politik yang tegas dan lantang termasuk kemampuannya menghasilkan buku 'The Malay Dilemma', tetapi apabila kemudiannya beliau menjadi Timbalan Perdana menteri dan seterusnya Perdana Menteri, peranan Datuk Harun dan Pemuda UMNO yang berusaha memujuk Dr Mahathir ketika itu merupakan satu catatan sejarah yang perlu diingati oleh setiap generasi di negara ini.
63. Satu lagi perkara yang menjadikan era Datuk Harun 'phenomenal' ialah kemampuan Pemuda UMNO yang menggesa kerajaan menjadikan akhbar 'Straits Times' milik syarikat dalam negeri. Sebelum itu, akhbar itu adalah milik syarikat asing.
64. Sebelum ini, usaha untuk memecahkan monopoli Straits Times sudah banyak diperkatakan oleh tokoh-tokoh nasionalis tetapi tiada satu cadangan yang konkrit san selari dengan undang-undang yang dapat menyelesaikan perkara itu.
65. Datu Harun dan Datuk Musa Hitam, Naib Ketua Pemuda UMNO, telah mengemukakan satu dasar yang meliputi semua perusahan - Syarat Pelaburan Nasional iaitu majoriti milik sahamnya mesti dipegang oleh modal dalam negeri.
66. Dengan dasar itu, bukan sahaja Straits Times boleh dimiliki oleh pemodal dalam negeri tetapi tidak ada syarikat asing berhak mengendalikan perusahan akhbar di negara ini lagi.
67. Dengan dasar itulah kumpulan akhbar 'New Staris Times' kini menjadi milik pengusaha dalam negeri.
68. Pemuda UMNO dipimpin oleh Datuk Jarun sama masanya dengan kelahiran Dasar Ekonomi Baru Tun Razak. Kegiatannya hampir sama panjangnya dengan tempoh perlaksanaan Rancangan Malaysia Kedua.
69. Dengan itu, sesudah Pemuda UMNO disusun sebagai sebuah pergerakan politik, lengkap dengan tugas tiap-tiap jawatankuasa pusatnya, badan itu menyusun barisan pimpinan di tiap-tiap peringkat.
70. Regu Datuk Harun dan Datuk Musa telah menjelajah ke setiap negeri menyusun berisan pimpinan di peringkat negeri. Dari situ mereka menyusun barisan di peringkat Bahagian dan cawangan.
71. Dengan penyusunan inilah membolehkan munculnya bakat-bakat pemimpin di pelbagai tahap. Di antaranya ialah Datuk Muhamad Rahmat yang diberi potfolio Pengerusi Sukan Pemuda UMNO walau pun ketika itu, beliau menjadi Setiausaha Parlimen di Kementerian Pelajaran.
72. Mengapa beliau tidak tidak potfolio Pengerusi Pelajaran di dalam Pemuda UMNO memandangkan jawatan beliau di dalam kementerian Pelajaran? Tetapi Datuk Harun memikir jauh.
73. Datuk Harun memandang bahawa Datuk Muhammad tentunya terikat daengan banyak peraturan dan tidak dapat menjalankan peranan sebagai trouble shooter bagi pihak Pemuda UMNO.
74. Sebagai orang dalam Muhamad Rahmat sudah tidak bebas lagi untuk memperkatakan masalah di kementeriannya. Peranan trouble shooter itu lebih mudah dijalankan oleh orang luar yang bebas.
75. Dengan pimpinan kolektif ini Pemuda UMNO sering mengadakan pertemuan-pertemauan dengan mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bagi menyatakan pendapat mereka tentang perkara-perkara yang mereka patut ditegur atau dibetulkan.
76. Datuk Harun dan Pemuda UMNO ketika itu juga lantang menegur kelemahan pengangkutan kapal yang membawa para haji ke Mekah di sekitar tahun 1971-1972 dan juga syarikat penerbangan MAS.
77. Tatkala itu, Beliau berdepan dengan beberapa pemimpin UMNO yang lain yang terlibat secara langsung di dalam kementerian ketika itu dan juga mereka yang mempunyai kepentingan busines.
78. Dan satu lagi muslihat ialah Pemuda UMNO mahu memisahkan UMNO dengan badan-badan yang dilibati oleh orang UMNO. Seperti kes kapal haji itu, meskipun ia perniagaan yang diselenggarakan oleh orang-orang yang kebetulannya menjadi pemimpin UMNO, kelemahan penyelanggaran perkhidmatan tersebut akan disalah ertikan seperti UMNO tidak efektif, padahal UMNO tidak ada kena mengena dengan perkara itu.
79. Dengan itu, masyarakat tidak akan memandang buruk sangka terhadap parti.
80. Hal ini menimbulkan perselisihan sesama pemimpin UMNO. Tetapi ternayata pemimpin-pemimpin itu dapat megatasinya dan Datuk Harun bertindak bijak dengan tidak menunjukkan bahawa beliau memusuhi pemimpin-pemimpin itu.
81. Maksudnya, Datuk Harun cuba mengamalkan politik liberal, menegur ketika perlu dan bekerjasama dengan sesiapa saja dalam kerja-kerja kebajikan.
82. Imej Pemuda UMNO terus menjadi perhatian bila ia memperjuangkan perlaksanaan penyusunan semula masyarakat dalam beberapa badan berkanun yang didapati kurang penyertaan Bumiputera seperti MAS, EPF dan sebagainya. Banyak pihak swasta dan separuh kerajaan juga ditegur keras untuk mengikuti aspirasi DEB ketika itu.
83. Teguran-teguran Datuk Harun dan Pemuda UMNO ini selalu menjadi perhatian. Nama Pemuda UMNO menjelma kepada satu imej yang tersendiri sehingga ia ditakuti oleh banyak pihak.
84. Keadaan seperti ini menyebabkan keyakinan orang ramai kepada Pemuda UMNO kian baik dan jika mereka menerima soal penindasan dan tidak puas hati, Pemuda UMNO tidak pula teragak-agak untuk membuat penyiasatan dan tindakan.
85. Gerakan 4B yang ditubuhkan di setiap ceruk rantau adalah badan yang sentiasa menyokong Pemuda UMNO. Dan juga kumpulan silat gayung.
86. Pemuda UMNO juga telah menrokai penglibatan dalam bidang ekonomi.
87. Satu daripada kejayaan besar yang diusahakan ialah syarikat Insurans TALASCO. Perkataan TALASCO itu bermaksud "Tahan Lasak Company". Tahan Lasak ialah istilah politik Pemuda UMNO yang diketengahkan oleh Datuk Shariff Ahmad.
88. Pemuda UMNO telah membuktikan bahawa mereka telah berjaya menubuhkan syarikat insurans yang sebelum itu tidak dapat dikendalikan oleh orang-orang Melayu.
89. Penubuhan TALASCO diharapkan dapat dipimpin dan disokong oleh orang-orang Melayu lain supaya Pemuda UMNO boleh meneruskan dan memfokuskan usaha kepada kegiatan lain.
90.Datuk Harun juga diberikan tugas memimpin Bank Rakyat yang ketika itu dimodali 100% oleh nelayan dan petani Melayu. Bank ini bukan kepunyaan Pemuda UMNO tetapi imej yang ditunjukkan oleh Datuk Harun dalam Pemuda UMNO menyebabkan pelabur dalam dan luar negeri sanggup menanam modal.
91. Keyakinan yang sangat tinggi itu juga telah mencambahkan pelbagai jenis perusahan kecil dan sederhana orang Melayu terutamanya di Selangor yang turut dipelajari oleh negeri-negeri lain seperti negeri Pulau Pinang yang ketika itu bergelut dengan soal masa depan.
92. Pokoknya, imej Datuk Harun sangat kuat, berpengaruh dan dipuji oleh orang-orang Melayu.
93. Justeru itu, badan=badan lain merasa tidak senang dengan pengaruh Pemuda UMNO yang kian meninggi itu. UMNO sendiri merasakan bahawa imej Pemuda UMNO sudah mengatasinya!
94. Pemuda UMNO sudah tidak dapat disekat-sekat daripada mencari bidang kemajuan baru dari semasa ke semasa dan beberapa pihak mula merasakan bahawa takut bahawa tempoh kepesatan Pemuda UMNO itu nanti boleh mengancam kedudukan UMNO sendiri.
95. Seorang pemimpin UMNO pernah melontarkan kekhuatiran bahawa imej Pemuda UMNO ini seperti 'parti UMNO di dalam parti UMNO'!
95. Seorang pemimpin UMNO pernah melontarkan kekhuatiran bahawa imej Pemuda UMNO ini seperti 'parti UMNO di dalam parti UMNO'!
96. Munculnya Datuk Harun di tengah-tengah pertubuhan UMNO mulai pada tahun 1971 dan selepas peristiwa 13 Mei adalah satu detik sejarah penting bukan sahaja bagi Pemuda UMNO malah bagi politik neagara ini umumnya.
97. Tidak pernah berlaku dalam sejarah sejak negara ini mengenal politik moden, sebuah gerakan politik sepertinya dapat diterima dan dengan baik oleh badan politik saingannya terutama oleh pertubuhan politik Melayu sendiri.
98. Tetapi hakikat ini berlaku bagi Pemuda UMNO itu dapat dikenali oleh dunia termasuk masyarakat umum di barat seperti Amerika Syarikat dan Kanada.
99. Kejayaan Datuk Harun membawa pertandingan Kejuaran Tinju Sedunia di antara Muhammad Ali dan Joe Bugner pada 1hb Julai 1975 telah menarik minat banyak badan kebajikan di seluruh dunia untuk mengenali Pemuda UMNO dan Datuk Harun.
100. Malah, pernah satu pasukan skating Amerika Syarikat yang terkemuka telah meminta Datuk Harun menganjurkan pertunjukkannya di Kuala Lumpur.
101. Krisis mula berlaku dalam UMNO berikutan dengan popuariti Pemuda UMNO ini. Datuk Harun nampaknya terlalu besar untuk dihadapi oleh pemimpin-pemimpin UMNO.
102. Walau pun beliau mulanya mahu memimpin untuk satu jangka waktu yang pendek sahaja, tetapi Pemuda UMNO sudah merasakan tempoh pimpinannya harus diperpanjangkan.
103. Datuk Musa mengusahakan satu cara untuk mengekalkan kepimpinan Datuk Harun.
104. Walaubagaimana pun, tuduhan demi tuduhan terus dibuat bahawa Datuk Harun tidak memberi peluang kepada Datuk Musa.
105. Tuduhan itu sama seperti yang dibuat terhadap Tunku Abdul Rahman yang tidak mahu bersara daripada Perdana Menteri dan tidak memberi peluang kepada TUN Abdul Razak.
106. Proses pemilihan berlaku pada tahun 1974 tetapi Datuk Harun masih mendapat sokongan kuat daripada Pemuda UMNO.
107. Akhirnya beliau diminta bertugas ke Bangsa-bangsa Bersatu. Ramai yang berpendapat bahawa tujuan tersebut ialah untuk memisahkan Datuk Harun daripada Pemuda UMNO.
108. Datuk Harun enggan pergi dan Pemuda UMNO menyatakan sokongan mereka terhadap langkah Datuk Harun itu.
109. Walaubagaimana pun, sejarah politik Datuk Harun di dalam Pemuda UMNO terhenti apabila beliau telah dipecat daripada UMNO.
110. Keghairahannya dalam mempromosikan sukan telah membawa kepada kejatuhannya. Walaupun perlawanan tinju di antara Muhamad Ali dan Joe Bugner itu telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah arena sukan antarabangsa, beliau kemudiannya disabitkan bersalah kerana rasuah. Perbuatan rasuah itu disebabkan oleh tekanannya untuk membiayai kerugian yang amat besar daripada penganjuran perlawanan tinju tersebut
111. Terdapat pelbagai cerita berikutan penuduhan rasuah ke atas Datuk Harun tetapi kebanyakkannya tidak didokumenkan dengan jelas dan tepat.
112. Pemecatan Datuk Harun itu juga telah menyebabkan Pemuda UMNO terpaksa memilih pemimpin baru yang kuat dan yang dapat menaikkan kembali imej Pemuda UMNO yang tercalar dek kes Datuk Harun.
113. Selepas pengunduran mengejut Datuk Harun, calon yang dilihat paling berkaliber dan mampu untuk menerajui Pemuda UMNO ketika itu ialah Datuk Musa Hitam.
114. Sebagai Naib Ketua Pemuda semasa kepimpinan Datuk Harun, Datuk Musa Hitam telah menunjukkan kemampuan beliau sebagai pemimpin yang berfikiran jauh dan sering memastikan mesyuarat-mesyuarat Pemuda UMNO berjalan dengan profesional dan tertib.
115. Yang menimbulkan tanda tanya ialah walau pun beliau telah mendapat sokongan yang kuat untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO yang baru tetapi beliau menolak pencalonan tersebut!
116. Di sini penulis sertakan beberapa keratan kenyataan Datuk Musa mengenai keputusan beliau itu (ditulis pada tahun 1976) :-
"Parti kita, UMNO dalam menjelajah usia 30 tahun (1976) tidak dapat tidak, dengan sendiri atau didorong oleh kehendak para anggotanya atau visi masa depan yang diutarakan oleh para pemimpinnya, telah mengalami beberapa bentuk perubahan.
Kita telah mengalami perubahan daripada segi barisan pimpinannya.
Kita telah mewarisi jenis dan cara kepimpinan yang kian berubah...
... UMNO tidak akan mengekalkan sokongan rakyat walau bagaimana bulatnya sokongan para anggota UMNO terhadap parti atau pemimpinnya, jika krisis dan keyakinan rakyat terhadap kita telah merebak sehingga orang menganggap kita sebagai barah yang harus dibedah atau dibuang akar umbinya daripada perhitungan hidup dan politik negara.
Krisis serupa ini yang telah dibiarkan tanpa diubati menyebabkan banyak parti politik di beberapa buah negara lain menggali kuburnya sendiri...
..Satu perkara yang merunsingkan saya ketika ini dan turut mendorongkan saya tidak bertanding bagi bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda dan mungkin terpaksa berhati-hati sama ada hendak bertanding bagi jawatan-jawatan penting parti yang lain pada masa depan ialah dengan timbulnya pihak-pihak yang telah menunjukkan mereka terlalu ambitious dan sanggup bertindak dengan apa cara pun tanpa mengira tatasusila asalkan mereka dapat menang dan berjaya mengambil alih teraju pimpinan parti....
...Saya tidak sanggup berkomplot; saya tidak sanggup menghulurkan kemudahan atau perks, misalnya dengan memberi derma yang besar-besar atau pun lesen dan sebagainya di luar perhitungan dan susunan atau peraturan yang biasa untuk mendapatkan sokongan..
....Kepada saya, perlumbaan untuk mendapatkan jawatan yang lebih tinggi tanpa mengira apa cara pun adalah perkembangan yang tidak sihat dan boleh merosakkan parti.
Kepada saya, dalam konteks ini, 'the end does not justify the means'....
...Saya ingin menyeru dan menggesa saudara-saudara sekalian supaya terus memberi perhatian kepada perjuangan parti, memastikan supaya segala perkembangan berlandaskan kepada asas serta pemikiran yang sihat dan dapat menjamin keutuhan parti.
Semoga segala dasar yang kita tentukan bersama dilaksanakan seperti yang diharapkan oleh kita serta rakyat sekalian. "
117. Walau pun kita menerima kenyataan Datuk Musa seperti di atas, penolakan beliau untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO (walau pun beliau berpeluang besar untuk menang) merupakan satu persoalan yang masih tidak terjawap penuh sehingga hari ini kecuali jika Datuk Musa Hitam mahu berkongsi pengalaman beliau dengan generasi hari ini.
118. Dalam masa yang sama, kita perlu sangat risau dengan kenyataan Datuk Musa Hitam yang mengatakan :-
"Saya tidak sanggup berkomplot; saya tidak sanggup menghulurkan kemudahan atau perks, misalnya dengan memberi derma yang besar-besar atau pun lesen dan sebagainya di luar perhitungan dan susunan atau peraturan yang biasa untuk mendapatkan sokongan."
119. Kenyataan mengenai derma yang besar-besar, menghulurkan kemudahan atau perks yang berusia 32 tahun (1976) itu merupakan satu isu yang sering kita dengar hari ini terutamanya di masa pemilihan pimpinan tertinggi UMNO!
120. Ianya serupa dengan rasuah politik/politik wang yang kita sedang giat perangi hari ini.
121. Nama TS Syed Jaafar Albar mula-mula dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia oleh UMNO Beruas, Perak sebagai bentuk provokasi.
122. Akan tetapi pencalonan tersebut telah mendapat sambutan daripada bahagian-bahagian lain sungguh pun Syed Jaafar sudah berusia 62 tahun ketika itu.
123. Pada mulanya, Syed Jaafar tidak berminat dan berpendapat bahawa Datuk Musa Hitam adalah calaon yang terbaik untuk menggantikan Datuk Harun Idris. Selain daripada itu, terdapat beberapa tokoh lain yang berkemampuan seperti Datuk Mohamad Rahmat, Datuk Syed Nahar Shahbudin, Datuk Hamzah Abu Samah, Datuk Mansor Osman dan Tengku Ahmad Rithaudeen.
124. Salah satu sebab Syed Jaafar menukar fikiran dan bersetuju untuk bertanding adalah kerana sebuah rencana di dalam Utusan Melayu pada 5 Jun 1976 yang mencabar beliau supaya tidak bertanding.
125. Syed Jaafar dikenali sebagai 'Singa UMNO' kerana kelantangan dan keberanian beliau untuk menyelar sesiapa sahaja yang dikira berbahaya untuk UMNO dan dia bukan sahaja sekadar bercakap tetapi sanggup menggunakan tenaga demi kepetingan maruah parti dan kerajaan partinya. Beliau juga amat lantang ketika pemisahan Singapura daripada Malaysia.
126. Di dalam temuramah di dalam Utusan Melayu pada 18 Jun 1976 beliau mengemukakan 3 sebab utama yang mendorong beliau untuk bertanding di sebalik umur beliau yang berusia 62 tahun.
- Menjadikan Pergerakan Pemuda sebagai tenaga penyatu bagi perpaduan dan keutuhan UMNO
- Berusaha untuk merapatkan lagi perhubungan di antara Pemuda UMNO dan badan induk untuk kepentingan parti dan negara.
- Memastikan Pemuda UMNO akan terus dijadikan kuasa yang diambilkira dalam semua kegiatan terutamanya politik dan ekonomi.
127. Kemenangan Syed Jaafar menewaskan Muhammad Rahmat jelas menunjukkan bahawa Syed Jaafar merupakan satu-satunya tokoh UMNO yang mampu memimpin Pemuda setelah zaman kegemilangan Pemuda di bawah Datuk Harun Idris.
128. Syed Jaafar juga telah menjadikan diri beliau sebagai 'jambatan' untuk memperbaiki hubungan Pemuda dengan pucuk kepimpinan badan induk yang tidak berapa manis semasa kepimpinan Datuk Harun Idris.
129. Beliau mengepalai Exco Pemuda untuk mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan pemimpin-pemimpin yang berpengaruh dalam UMNO termasuk Perna Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan lain-lain.
130. Jelas bahawa pertemuan-pertemuan tersebut telah berjaya merapatkan kembali kerenggangan yang terwujud semasa pimpinan Datuk Harun.
131. Syed Jaafar mahukan Pemuda yang aktif melontarkan pandangan dan kritikan, bukan untuk berkonfrontasi tetapi untuk kebaikan.
132. Beliau juga mengisytiharkan bahawa Pemuda dibawah pimpinannya akan menjadi 'ginger group' dan bukan lagi pressure group seperti di bawah Datuk Harun.
133. Akan tetapi, jelas bahawa perubahan itu hanya pada nama sahaja kerana peranan Pemuda untuk menegur pelaksanaan dasar-dasar kerajaan tetap diteruskan! Suara Syed Jaafar mengenai banyak perkara, sama lantangnya dengan suara Datuk Harun.
134. Beliau juga meneruskan tradisi Datuk Harun iaitu menjelajah dari satu negeri ke satu negeri untuk menemui pemimpin-pemimpin UMNO negeri, berbincang mengenai parti dan sebagainya. Seluruh Exco pusat turut serta di dalam program tersebut.
135. Walaubagaimana pun, Syed Jaafar kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 1977 kerana diserang penyakit jantung.
136. Pemergian mengejut beliau amat tidak diduga dan ketika kepimpinan beliau masih diperlukan lagi.
137. Akhbar Mingguan Malaysia (16 Januari 1976) telah menulis "Satu hakikat yang perlu diakui ialah bahawa Allahyarham semasa hayatnya tidak jemu-jemu berjuang walau pun usianya sudah meningkat dan sepatutnya bersara...... Dan detik yang perjuangan yang paling hebat baginya ialah ketegasannya menentang pemisahan Singapura dari Malaysai dan kemuncak perjuangan politiknya ialah kepulangan beliau ke ribaan parti sebagai Ketua Pemuda UMNO secara yang tidak disangka-sangka..."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan